Putera Dara Shikuh – Sufi Kontroversi Dihukum Mati

Kenali Putera Dara, seorang pengikut Tarekat Qadiriyah bermazhab Hanafi yang dihukum mati oleh adindanya sendiri iaitu Putera Aurangzib.

LAHIR DI AJMIR

Dalam kitabnya berjudul Safinat-ul-Awliya, Putera Muhammad Dara Shikuh – putera sulung Khalifah Shahjahan pemerintah Hindustan – mencatatkan hari dan tarikh kelahirannya ketika berbicara tentang kehidupan Khwaja Mu’inuddin Chisti.

Menurut catatan tersebut, baginda dilahirkan pada hari Isnin terakhir bulan Safar iaitu 29 Safar 1024H di Ajmir, kota yang masyhur dengan kewalian Khwaja Mu’inuddin Chisti, pelopor Tarekat Chistiyah. Ayahanda baginda dikatakan begitu memuliakan Khwaja Mu’inuddin Chisti dengan sering menziarahi makam wali Allah ini dan bertawassul dengan keberkatannya.

 

ANAK EMAS KHALIFAH SHAHJAHAN

Tidak banyak maklumat dikongsikan oleh para sejarawan Mughal mengenai kehidupan awal Putera Dara. Ini termasuklah ketiadaan maklumat mengenai perkembangan didikan spiritual dan intelektual yang pernah diterima oleh putera Hindustan tersebut.

Namun sejarah tetap mengenang baginda sebagai putera kesayangan Khalifah Shahjahan sehingga dikatakan bahawa ayahandanya tidak senang hati berjauhan dengannya. Kasih sayang ini, walaubagaimanapun, merugikan baginda kerana menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan adinda-adindanya seperti Putera Shuja’, Putera Murad dan Putera Aurangzib. Selain itu, kedekatan dengan ayahandanya juga menghalang Putera Dara daripada menimba pengalaman pentadbiran dan ketenteraan yang menyeluruh.

 

DIHUKUM MATI OLEH PUTERA AURANGZIB

Kedudukan Putera Dara sebagai pewaris takhta mula dicabar oleh adinda-adindanya apabila ayahanda mereka gering sehingga melibatkan peperangan saudara. Diringkaskan cerita, Putera Dara akhirnya ditangkap oleh Malik Jiwan. Malik Jiwan seterusnya membawa beliau ke Delhi dengan diiringi oleh jeneral-jeneral Putera Aurangzib. Baginda kemudiannya dihukum kafir oleh ulama Putera Aurangzib dan dihukum mati oleh adindanya ini. Putera Dara mangkat pada 21 Zulhijjah 1069H.

 

KARYA-KARYA PUTERA DARA

Ketokohan Putera Dara Shikuh mungkin lebih terserlah melalui karya-karya yang beliau tinggalkan berbanding pengalaman baginda dalam pentadbiran. Sebahagian daripada karya baginda adalah seperti berikut, Safinat-ul-Awliya, Sakinat-ul-Awliya, Risala-i-Hak NumaShathiyat atau Hasanat-ul-‘Arifin, Majma’-ul-Bahrain dan Sirr-i-Akbar (terjemahan kira-kira 50 bab daripada Upanishad).

 

#1 – SAFINAT-UL-AWLIYA

Putera Dara telah menyusun banyak karya dari masa ke masa. Ketika berumur 25 tahun (27 Ramadan 1049H), baginda menyusun Safinat-ul-Awliya, sebuah kitab biografi yang menghimpunkan kehidupan 411 orang wali Allah. Ini termasuklah kehidupan Nabi Muhammad, para Khalifah al-Rasyidin, tiga Amir al-Mukminin dan para Imam, sebelum diikuti dengan biografi para wali Allah daripada Tarekat Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Chistiyah, Kubrawiyah, Suhrawardiyah, dan tarekat-tarekat kecil yang lain. Selain itu, karya ini turut memuatkan kehidupan para isteri dan anak Nabi, dan para wanita wali Allah yang lain. Karya ini menarik kerana Putera Dara cuba mengesan tarikh kelahiran dan kewafatan selain lokasi pemakaman setiap tokoh yang baginda bicarakan. Selain itu, karya ini juga membolehkan para pengkaji mengenal latar belakang mazhab dan tarekat baginda yang telah memperkenalkan dirinya sebagai murid Tarekat Qadiriyah yang mengikut mazhab Hanafi pada bahagian pendahuluan kitab ini.

 

#2 – SAKINAT-UL-AWLIYA

Ketika berumur 28 tahun pula, baginda menyusun Sakinat-ul-Awliya. Karya ini memuatkan biografi Miyan Mir atau dikenal juga sebagai Miyan Jiv, Mulla Shah yang juga dikenal sebagai Lisanullah, dan murid-murid Miyan Jiv yang lain. Perlu diketahui bahawa Miyan Jiv merupakan guru mursyid kepada pir dan guru mursyidnya sendiri iaitu Mulla Shah. Mulla Shah bahkan mengizinkan baginda untuk mengajar ilmu kerohanian. Namun, Putera Dara nampaknya lebih cenderung berkongsi ilmunya melalui penulisan.

Selain menghimpunkan biografi-biografi terpilih, baginda turut membincangkan pelbagai masalah keagamaan dan kesufian seperti keperluan berguru mursyid, cara-cara menemukan guru mursyid, mendengar Sama’ dan melihat Allah. Baginda merujuk al-Quran, Sahih Muslim, Kash-ul-Mahjub dan banyak kitab yang lain untuk menyiapkan kitab ini.

Selain itu, baginda turut kongsikan pengalaman menerima pelajaran musyahadah dan melihat Lailatul Qadar pada 27 Ramadan 1050H dengan bimbingan Miyan Jiv. Juga menarik apabila baginda kongsikan pengalaman peribadi melatih pernafasan mengikut kaedah Tarekat Qadiriyah.

 

#3 – RISALA-I-HAK NUMA

Judul karya ini boleh diterjemahkan sebagai ‘Kompas Kebenaran’. Karya setebal kira-kira 30 halaman ini membincangkan perkembangan pelbagai makam kerohanian dan cara-cara untuk mencapai kesempurnaan rohani. Menurut Putera Dara, karya baginda ini tidak sesuai dibaca oleh semua orang. Hanya yang telah bersahabat sahaja yang sesuai membacanya. Baginda turut menegaskan bahawa tarikan Ilahi dan kefahaman merupakan kurniaan mutlak Allah kepada siapa-siapa yang Dia kehendaki.

 

#4 – SHATHIYAT ATAU HASANAT-UL-‘ARIFIN

Karya ini membahaskan kata-kata kiasan kaum Sufi (syatahat) khususya ketika mereka mengalami pengalaman rohani tertentu. Kata-kata sebegini tidak boleh segera difahami secara literal. Dalam karyanya ini, baginda menghimpunkan bukan sahaja syatahat yang pernah diungkapkan oleh kaum Sufi – seperti Bayazid, Zunnun al-Misri, Junaid al-Baghdadi, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Ibnu Arabi dan lain-lain – tetapi juga syatahat yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah, Khalifah al-Rasyidin, Imam Zanal Abidin dan Imam Jafar al-Sadiq. Antara rumusan menarik baginda ialah apabila baginda menyimpulkan bahawa tiada yang lebih baik daripada Tauhid dan Makrifat.

 

#5 – MAJMA’-UL-BAHRAIN

Judulnya sahaja cukup menarik kerana merujuk kepada ‘pertemuan di antara dua lautan’. Menurut Mahfuz-ul-Haq, karya ini amat bermanfaat kepada para pengkaji perbandingan agama. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa karya inilah yang menyebabkan Putera Dara dituduh sebagai sesat sebelum kemudiannya dihukum mati oleh adindanya Putera Aurangzib.

Pada bahagian pendahuluan, Putera Dara menegaskan bahawa karyanya yang disusun mengikut ilham dan cita rasa peribadi ini ditulis untuk ahli keluarganya sahaja dan tiada kaitan dengan orang awam daripada kalangan penganut Islam ataupun Hindu.

Karya ini mengandungi 20 bab kecil yang menyentuh banyak perkara seperti unsur-unsur, panca indera, sifat-sifat Allah, cahaya, melihat Allah, nama-nama Allah, kenabian dan kewalian, arah (jihat) dan lain-lain.

 

#6 – SIRR-I-AKBAR

Karya ini merupakan terjemahan kira-kira 50 bab daripada Upanishad yang disusun kira-kira 2 tahun sebelum Putera Dara dihukum mati. Baginda sebenarnya gemar meluangkan masa membaca kitab-kitab daripada tradisi keagamaan yang lain. Ini termasuklah Psalms yang dinisbahkan kepada David (boleh dibandingkan dengan Nabi Daud), Old Testaments dan New Testaments. Namun, baginda paling tertarik dengan Upanishad.

Menurut baginda, terdapat rahsia ketauhidan yang besar (Sirr-i-Akbar) dalam Upanishad sekiranya Upanishad difahami dengan cara yang betul. Selain itu, baginda juga percaya karyanya ini akan dapat dibaca dan dimanfaatkan oleh mereka yang bersangka baik, berhati suci dan dirahmati.

 

HARAPAN

Sejarah pertembungan di antara Islam dan Hindu barangkali akan semakin menarik sekiranya kajian-kajian baginda berkenaan perbandingan epistemologi dan keagamaan kedua-dua tradisi lebih diperhalusi.

 

KREDIT

Rujukan:

M. Mahfuz-ul-Haq. (2006). Majma’-ul-Bahrain: Text and Translation. New Delhi: Adam Publishers & Distributors. Cetakan ini merupakan cetakan semula terbitan karya asal yang telah diterbitkan pada 1929.

 

Gambar: olddelhiheritage

Malala Perjuang Hak Pendidikan Perempuan

KEHIDUPAN AWAL

Malala dilahirkan di Mingora, Pakistan pada 12 Julai 1997. Beliau merupakan cahaya mata kepada Ziauddin dan isterinya Toor Pekai Yousafzai. Ziauddin menamakan anak perempuannya ini sempena nama Malalai, seorang heroin Pashtun. Walaupun kelahiran anak perempuan tidaklah begitu mengujakan masyarakat di Pakistan, Ziauddin tekad memberikan semua peluang seperti anak lelaki kepada Malala. Sebagai pendidik, Ziauddin berjanji untuk memastikan Malala ke sekolah dan dilayan secara saksama di rumah.

Malala membesar di Lembah Swat, Pakistan yang sering dipanggil sebagai “Switzerland di Asia”. Seperti ayahnya, beliau juga mencintai ilmu. Semasa kecil, beliau gemar bermain di luar rumah dan membaca buku untuk meneroka dunia baru.

 

DIKUASAI TALIBAN

Pada tahun 2007, para militan Taliban menguasai Lembah Swat dan mereka melarang banyak perkara seperti pemilikan televisyen dan muzik. Selain itu, mereka turut menguatkuasakan hukuman-hukuman keras seperti menghukum mati secara terbuka rakyat yang mengingkari mereka. Pada Disember 2008, mereka mengeluarkan arahan melarang kanak-kanak perempuan ke sekolah. Menggunakan nama pena “Gul Makai” untuk melindungi dirinya, Malala mula menulis blog untuk BBC berkenaan hidup bawah pemerintahan Taliban. Beliau meluahkan perasaan mengenai hari-hari akhir sebelum sekolahnya ditutup.

Tentera Pakistan bergerak ke Lembah Swat sepanjang Mei hingga Oktober 2009 untuk memaksa Taliban keluar dan pertempuran meletus. Lebih daripada satu juta penduduk lembah ini termasuklah keluarga Yousafzai berhijrah meninggalkan rumah mereka untuk ke kawasan lain. The New York Times menyiarkan sebuah dokumentari ringkas berkenaan kehidupan Malala dan Ziauddin serta perjuangan melindungi pendidikan kanak-kanak perempuan di Lembah Swat selepas membaca blog Malala di BBC.

 

MEMENANGI ANUGERAH REMAJA KEAMANAN PERINGKAT KEBANGSAAN YANG PERTAMA

Pada November 2011, tentera Pakistan melemahkan Taliban di Lembah Swat sehingga memaksa mereka untuk berundur. Walaupun Taliban tidak lagi mengawal Lembah Swat, mereka kekal berpengaruh di kawasan-kawasa luar bandar di luar Mingora.

Sekolah Ziauddin boleh dibuka semula dan Malala teruja untuk kembali ke sekolah. Walaupun beliau khuatir dengan tindakan balas Taliban, beliau tetap berkempen secara terbuka supaya kanak-kanak perempuan ke sekolah. Beliau kemudiannya meraih Anugerah Remaja Keamanan peringkat kebangsaan yang pertama.

DITEMBAK TALIBAN

Malala semakin terkenal sama ada di Pakistan atau di luar negara. Akibatnya, pihak Taliban menjadikan Malala sebagai sasaran serangan. Pada 9 Oktober 2012, seorang penembak bertopeng telah menaiki bas dan memanggil nama Malala. Kemudian, Malala ditembak di bahagian kepala, leher dan bahu. Dua orang kawan Malala, Kainat dan Shazia, turut cedera dalam serangan ini.

malala_hospital
Gambar: malala.org

 

Selepas beberapa bulan pembedahan dan pemulihan, beliau dikeluarkan dari hospital pada Januari 2013 dan menyertai semula keluarganya di Birmingham, U.K. Pada Mac 2013, beliau kembali ke sekolah buat pertama kali selepas peristiwa serangan pada tahun sebelumnya.

 

 

HARI MALALA

Beberapa bulan kemudian atau lebih tepatnya lagi pada hari ulang tahun beliau ke-16, Malala berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). PBB bahkan mengumumkan tarikh 12 Julai sebagai “Hari Malala” dan Malala berjanji untuk mendedikasikan hari ini setiap tahun untuk membela nasib kanak-kanak perempuan yang lemah di dunia.

 

 

TABUNG MALALA

Pada Oktober 2013, dengan tekad meneruskan kempen untuk pendidikan kanak-kanak perempuan, Malala dan Ziauddin menubuhkan Tabung Malala (Malala Fund), sebuah organisasi yang didedikasikan untuk memberi semua kanak-kanak perempuan akses kepada pendidikan. Dalam masa beberaoa tahun selepas itu, Malala menemui ramai kanak-kanak perempuan dan ketua negara dari seluruh dunia dengan membawa hasratnya mengenai pendidikan perempuan dan kesamaan (equality).

 

 

KE NIGERIA

Pada 12 Julai 2014 (hari lahirnya ke-17), Malala ke Nigeria untuk menemui keluarga-keluarga mangsa culik Boko Haram, sebuah kumpulan pengganas yang menculik pelajar-pelajar perempuan. Malala menyuarakan bantahan dan mendesak pemulangan mereka secara aman.

 

MEMENANGI ANUGERAH NOBEL

Malala dan Kailash Satyarthi, seorang aktivis India, memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada Disember 2014. Malala menjemput ramai kanak-kanak perempuan daripada Syria, Nigeria dan Pakistan untuk menghadiri majlis di Oslo yang menjadikan beliau penerima Nobel termuda.

 

 

MEMBUKA SEKOLAH DAN BERSAMA PELARIAN

Sempena hari kelahirannya yang ke-18, beliau membuka sebuah sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan pelarian Syria di Lembah Bekaa, Lebanon. Pada hari kelahiran beliau yang seterusnya, beliau meluangkan masa menemui kanak-kanak pelarian yang tinggal di Kem Dadaab dan Kakuma di Kenya dan Kem Mahama di Rwanda.

 

 

MELANCARKAN KEMPEN

Pada 7 September 2016, beliau melancarkan kempen untuk menggalakkan orang ramai di seluruh dunia menyokong pendidikan untuk  #YesAllGirls .

 

MENGEMBARA UNTUK MENDENGAR CERITA

Sepanjang April hingga September 2017, Malala mengunjungi Amerika Utara, Timur Tengah dan Amerika Latin sempena program Girl Power Trip. Misi beliau ialah menemui dan mendengar cerita-cerita kanak-kanak perempuan berkenaan halangan belajar seperti keganasan, kemiskininan, perkahwinan kanak-kanak dan budaya machismo. Beliau turut  menyampaikan hasrat dan kebimbangan mereka langsung kepada para pemimpin dunia. Beliau turut banyak kali berjumpa dengan ramai presiden dan perdana menteri meminta mereka untuk melabur dalam pendidikan kanak-kanak perempuan.

 

 

PELAJAR OXFORD

Sejak Oktober 2017 sehingga sekarang, Malala giat mempelajari falsafah, politik dan ekonomi di Lady Margaret Hall, Universiti Oxford. Walaupun sibuk belajar, beliau tetap terus konsisten memperjuang hak kanak-kanak perempuan di seluruh dunia untuk menuntut ilmu.

 

KREDIT

Rujukan: https://www.malala.org/malalas-story
Gambar: malala.org