BELAJAR ADAB DARIPADA SYEIKH AL-HADITH MAULANA ZAKARIYA

Syeikhul Hadith Mawlana Zakariya mengajar hadith daripada umur 20 tahun hingga hampir 60 tahun. Menurut Mawlana Zakariya, beliau semakin nampak kebenaran dalil imam-imam mazhab setelah lama mengajar hadith. Guru Mawlana Hussain merupakan murid kepada Mawlana Zakariya. Oleh itu, kita seharusnya tunduk di hadapan ulama mujtahid (dengan maksud menghormati dan menghargai mereka). Tidak wajar kita mencaci dan meragui ulama. Ini merupakan cara terbaik untuk dapatkan keberkatan dalam ilmu hadith. Selain itu, kebiadapan terhadap ulama itu sendiri merupakan tanda bahawa individu-individu berkenaan tidak mempelajari ilmu hadith dengan cara yang betul.

HADITH NABI MENYATUKAN UMAT DAN MENYUBURKAN ADAB

Hadith nabi  sama ada yang berupa sabdaan, perbuatan atau akhlak nabi seharusnya menyatukan umat dan bukan sebaliknya. Aus dan khazraj menjadi saudara dengan hadith Rasulullah. Inilah matlamat dan keberkatan hadith Rasulullah. Masyarakat tidak akan jadi biadap terhadap ulama terdahulu dan tidak akan berpecah belah sekiranya mereka mempelajari hadith Rasulullah dengan cara yang betul. Matlamat sebenar ilmu hadith ialah mengenal punca datangnya hukum hakam, dan bukannya untuk kritik atau perlekah alim ulama. Ada sekumpulan pengajar ilmu hadith hari ini yang timbulkan masalah dalam masyarakat sehingga menyebabkan masyarakat berpecah belah. Orang yang mempelajari ilmu hadith mengikut cara muhadithin sebenar tidak akan mendorong perpecahan masyarakat. Bagi menghadapi keadaan ini, kita perlu sekurang-kurangnya berazam untuk galakkan keturunan kita fahami ilmu hadith yang sebenar.

AKHLAK RASULULLAH ITU AL-QURAN

Pernah orang bertanya kepada Aisyah r.a. bekenaan akhlak Rasulullah. Jawab Aisyah, akhlak Rasulullah ialah al-Quran. Ini bermaksud akhlak Rasulullah menepati al-Quran dan merupakan tafsiran bagi al-Quran.

JASA ULAMA YANG BERKHIDMAT KEPADA QURAN DAN HADITH

Hadith Rasulullah merupakan pentafsir al-Quran. Para ulama berkebolehan telah mewarisi peranan Rasulullah sebagai penjelas al-Quran dan al-Hadith. Dalam lain perkataan, mereka berkebolehan mensyarahkan al-Quran dan al-Hadith. Kita sepatutnya menghargai para ulama yang telah menghabiskan usia mereka untuk berkhidmat kepada Al-Quran dan Al-Hadith. Tidak sewajarnya kita berlagak seolah-olah kita jauh lebih pandai berbanding para ulama terdahulu.

PERBEZAAN KEPANDAIAN DAN KEBOLEHAN ULAMA

Terdapat pelbagai jenis kepakaran ulama. Dalam lain perkataan, kepandaian dan kebolehan para ulama berbeza. Ulama yang mahir dalam ilmu hadith dikenali sebagai muhadithin sementara ulama yang mahir dalam ilmu fikah dikenali sebagai mujtahidin.

Ulama muhadithin seperti Imam Kutub Sittah berperanan sampaikan hadith kepada kita sementara ulama fuqaha mujtahidin seperti Imam 4 Mazhab berperanan sampaikan fikah kepada kita.

Dan secara umum, para imam mujtahidin lebih utama berbanding para imam muhaddithin. Atau boleh juga dikatakan bahawa kepakaran fikah lebih utama berbanding kefahaman hadith.

Perlu kita insafi bahawa mereka – seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik – sempat hidup pada kurun terbaik yang diakui sendiri oleh Rasulullah. Dalam lain perkataan,  mereka hidup dalam garis masa yang lebih hampir dengan zaman Rasulullah dan sahabat berbanding kita. Rantaian ilmu (sanad) mereka turut menunjukkan kewibawaan hubungan guru-murid yang bersambung kepada Rasulullah. Sebagai contoh, Imam Bukhari merupakan murid kepada Imam Malik.

Selain itu, kita juga perlu fahami perbezaan kebolehan dan kepandaian di antara para Imam Mazhab dengan para Imam Mujtahidin. Para Imam Mazhab secara umumnya menguasai ilmu hadith dan pandai berijtihad sedangkan para Imam Muhaddithin (kecuali Imam al-Bukahri yang berkebolehan ijtihad sebagaimana yang ditunjukkan dalam metodologi penulisan Sahih Bukhari beliau) secara umumnya hanya menguasai ilmu hadith  dan tidak berijtihad. Mereka bahkan lebih mengutamakan ijtihad para Imam Mazhab untuk dijadikan panduan kehidupan. Contoh sebahagian ulama yang berpegang kepada mazhab sekalipun mereka sendiri alim dalam bidang mereka adalah seperti Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (pensyarah Sahih Bukhari yang lebih dikenali sebagai Fath al-Bary) yang mengikut Mazhab Syafi‘i, Imam Jalaludin Sayuti yang telah berkhidmat menulis banyak kitab tetapi tetap mengikut ijtihad Imam Syafi‘i, dan Imam Nawawi (pensyarah Sahih Muslim) yang juga mengikut ijtihad Imam Syafi‘i.

Tanpa maksud merendahkan, kita perlu sedar bahawa para Imam Hadith yang lain sekadar menyusun kitab hadith sahaja sesuai dengan kebolehan dan matlamat masing-masing. Tetapi setiap susunan mereka memberi manfaat kepada umat kerana kefahaman kita dalam ilmu hadith cukup terhad sekiranya kita hanya belajar kitab-kitab sahih seperti Sahih Bukhari dan Sahih Muslim sahaja. Sebagai contoh, Imam Tirmizi mempunyai metodologi penulisan kitab hadith yang menarik. Dalam kitab beliau Sunan Tirmizi, beliau didapati akan masukkan pandangan imam Mazhab selepas hadith-hadith pilihan beliau. Beliau berbuat begini kerana bermatlamat menerangkan kefahaman dan pandangan para ulama mujtahidin terdahulu terhadap hadith-hadith berkaitan dengan penuh adab dan hormat. Dalam lain perkataan, Imam Tirmizi sendiri menyedari tahap kebolehan beliau dan tidak meninggalkan pandangan ulama mujtahidin.

MEMAHAMI PERBEZAAN IJTIHAD

Apabila ada ijtihad imam bercanggah dengan hadith, ini tidak bermaksud imam mazhab tersebut menyalahi hadith. Imam berkenaan pasti merujuk hadith lain untuk dijadikan sandaran. Dalam lain perkataan, perbezaan ini sebenarnya melibatkan dua hadith berbeza.

RENUNGAN DAN PENGAJARAN BUAT KAUM MUSLIMIN

Kaum Muslimin perlu berwaspada dengan kumpulan-kumpulan manusia yang biadap atau merendahkan kewibawaan ulama terdahulu. Sebagai contoh, ada usaha menyalahi kewibawaan ilmu Imam Syafi’i dengan alasan Imam Syafi‘i tidak maksum. Mereka seolah-olah lupa rakaman sejarah berkenaan kebolehan Imam Syafi‘i menghafal al-Quran seawal usia 7 tahun dan menghafal kitab Muwatta’ susunan Imam Malik seawal usia 10 tahun, dan berkhidmat sebagai seorang qadi di Baghdad seawal usia 15 tahun.

Semua lapisan Kaum Muslimin perlu elakkan diri daripada menjadi fitnah dalam kalangan umat Islam. Para asatizah tidak sewajarnya mengajak orang awam menyemak status hadith. Ilmu hadith merupakan bidang kajian para ulama dan bukannya bidang kajian orang awam. Orang awam bahkan boleh terperangkap dalam kekeliruan berpanjangan sekiranya mereka “berjuang mempertahankan ilmu hadith” tanpa terlebih dahulu mempelajari ilmu hadith mengikut cara muhaddithin sebenar.

Semata-mata penguasaan ilmu hadith belum melayakkan seseorang untuk berijtihad menyalahi ijtihad Imam Mazhab terdahulu. Perlu juga matang dan menyeluruh dalam menilai sesuatu. Sebagai contoh, ada dakwaan yang mengatakan bahawa Imam Abu Hanifah tidak pandai hadith dengan alasan tidak menemukan nama beliau dalam sanad hadith. Cuba kita bandingkan situasi ini dengan situasi Sayyidina Abu Bakar yang juga tidak dikenali sebagai salah seorang perawi hadith yang utama. Namun ini tidak bermaksud beliau kurang berwibawa atau kurang utama berbanding sahabat lain yang lebih banyak meriwayatkan hadith. Ilmu riwayat hadith ada kepentingannya. Namun kefahaman hadith (ilmu dirayah) tetap lebih utama.

 

KREDIT

Gambar: YouTube/Umran TV

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s