Ke hadapan Yang Berhormat (YB) Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik.

Tahniah atas lantikan YB sebagai Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu.

Saya difahamkan banyak perkara yang ingin YB usahakan untuk kemajuan pendidikan tanah air. Sebagai rakyat Malaysia yang juga teruja dengan banyak perubahan yang berlaku akhir-akhir ini, saya dengan perasaan rendah diri ingin turut serta berkongsi idea untuk negara tercinta.

 

BERHATI-HATI DENGAN KEGHAIRAHAN MENGGANTI

Memberi nafas baharu kepada pendidikan di Malaysia tidak semudah membawa masuk apa-apa sahaja pendekatan dan pengalaman pendidikan negara lain tanpa penilaian yang kritis. Ali Shariati, seorang pemikir dari Iran, pernah mengingatkan supaya golongan yang beliau sifatkan sebagai ‘intelektual tercerahkan’ sentiasa kritis dalam mengambil sebarang penyelesaian daripada masyarakat dengan konteks yang berbeza. Sekalipun terbukti berjaya di tempat tertentu, sesebuah pendekatan itu sendiri belum tentu menjamin kejayaan serupa apabila diterapkan di tempat yang lain. Nasihat supaya sentiasa kritis dan tidak sekadar hidup sebagai ‘watak tertawan’ juga pernah diungkapkan oleh pemikir tempatan seperti Prof. Syed Hussein Alatas. Saya percaya sudah ramai kongsikan keistimewaan sistem pendidikan dari negara-negara tertentu seperti Jepun dan lain-lain dengan YB dan penulis tidak bermaksud menafikan apa-apa sahaja kebaikan yang mereka lihat. Sekali lagi, penulis sekadar mahu nasihatkan YB agar lebih berhati-hati. Sebagai contoh, ada pandangan yang mengatakan bahawa para pelajar tidak seharusnya terus didedahkan kepada ilmu akademik. Mereka perlu diberi lebih peluang untuk belajar dengan bermain. Persoalannya, adakah para pelajar kita bakal dapatkan manfaat serupa sebagaimana kumpulan pelajar dari negara luar yang dirujuk, ataupun pelajar kita bakal lebih banyak bermain semata-mata?

Pada pandangan penulis, mempersoal keberkesanan perubahan-perubahan besar terdahulu merupakan langkah pertama yang perlu diambil sebelum ghairah membawa masuk sebarang reformasi baharu. Selain melihat dan menilai statistik, kita juga perlu menyemak semua pra-andaian yang mendasari sesebuah perubahan yang diambil. Pada masa yang sama, kesan-kesan sesebuah usaha pembaharuan yang dilakukan kepada Kementerian dan sekolah juga perlu diambilkira. Penting untuk disedari bahawa langkah penting ini juga tidak boleh sekadar dilangkau dengan terus memperkenalkan perkara-perkara baharu kerana kita tentunya tidak mahu ulangi kesilapan terdahulu yang telah diberikan bungkusan baru tanpa disedari.

Sebagai contoh, beberapa soalan berikut berkenaan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) boleh difikirkan.

  • Adakah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berjaya gantikan kecenderungan “belajar sekadar untuk peperiksaan” yang sebelum ini kuat dikaitkan dengan PMR?
  • Adakah prestasi kumpulan pelajar lulusan PBS terbukti lebih cemerlang berbanding kumpulan pelajar lulusan PMR?
  • Adakah pemansuhan PMR membantu pelajar untuk lebih bersedia hadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
  • Apakah kesan pemansuhan PMR dan pengenalan PBS kepada pengurusan akademik di sekolah-sekolah (Ini termasuklah kemungkinan penambahan beban kerja, bilangan fail pengurusan, kos dan lain-lain)?
  • Apakah kelebihan pemansuhan PMR dan pengenalan PBS kepada pengurusan peperiksaan di semua peringkat? Sebagai contoh, kos pengurusan peperiksaan nasional seharusnya berkurang dengan pemansuhan PMR dan pengenalan PBS kerana tidak perlu lagi membayar elaun kepada pengawas peperiksaan, penanda kertas dan lain-lain. Bagaimanakah penjimatan ini memberi manfaat kepada Kementerian dan institusi-institusi pendidikan di seluruh negara?

 

 

GURU PEMBANTU (GP) ATAU PEMBANTU GURU (PG)?

Menurut kaedah Bahasa Melayu, istilah “Guru Pembantu” (GP) mempunyai maksud yang berbeza dengan “Pembantu Guru” (PG). GP boleh difahami sebagai guru yang berperanan membantu guru yang lain manakala PG pula boleh difahami sebagai individu bukan guru yang berperanan membantu guru. Sebagaimana yang diketahui, cadangan menyediakan pembantu kepada guru-guru di sekolah bukanlah sebuah idea yang sepenuhnya baru tetapi kekal relevan sehingga hari ini terutamanya kerana kumpulan pembantu yang dimaksudkan masih belum jelas kelihatan di sekolah-sekolah. Persoalannya, jenis bantuan manakah yang lebih diperlukan di sekolah buat masa ini?

Sekiranya jawatan GP diperkenalkan, adakah status GP ini boleh sekadar disandang oleh guru-guru baru lepasan universiti? Sekiranya ya, maka tiada perbezaan dan kesan positif yang ketara boleh dilihat memandangkan penambahan guru dari masa ke masa merupakan rutin biasa. Kesan positif yang ketara hanya boleh dilihat sekiranya bilangan guru di sesebuah sekolah digandakan lebih banyak daripada biasa. Walaubagaimanapun, penambahan semata-mata tidak bermakna sekiranya kita tidak fikirkan nisbah yang sesuai di antara bilangan guru dan bilangan GP yang diperlukan di sekolah. Bukan itu sahaja, bagaimana pula dengan pembahagian tugas bagi para GP di sekolah? Adakah mereka hanya membantu guru untuk mengajar, atau hanya bantu guru untuk urusan pengurusan seperti pengurusan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan biasiswa, ataupun kedua-duanya? Bagaimana pula dengan laluan perkembangan kerjaya mereka? Adakah status mereka sebagai GP akan bertukar kepada guru apabila mereka semakin senior?

Sekiranya PG yang lebih diperlukan, bagaimana pula jawatan ini ingin diperkenalkan di sekolah secara berkesan? Adakah pekerjaan seperti Pembantu Makmal boleh dikira sebagai PG? Tentu sekali PG yang diperlukan tidak terbatas kepada Pembantu Makmal sahaja kerana Pembantu Makmal telah ramai di sekolah dan tugas mereka secara umumnya hanya di kawasan makmal sahaja walaupun terdapat sebahagian sekolah cuba libatkan mereka dengan lebih banyak perkara. Memandangkan mereka tidak dilibatkan dengan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), adakah ini bermaksud tugas mereka di sekolah ialah untuk sepenuhnya mengambil alih tugas-tugas perkeranian yang selama ini membebankan guru? Selain itu, bagaimana pula dengan nisbah kewujudan mereka dengan bilangan guru yang ideal di sekolah? Sekiranya nisbah yang sesuai sukar dicapai, maka bilangan PG di sesebuah sekolah mungkin tidak perlu ditetapkan mengikut nisbah tertentu. Mungkin sahaja pengwujudan bahagian tertentu seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar di universiti-universiti merupakan penyelesaian yang sebenarnya lebih diperlukan di sekolah-sekolah.

Sekiranya persoalan GP dan PG ini sahaja telah cukup melelahkan dan masih jauh daripada kemungkinan, maka cara terbaik untuk membantu guru ialah dengan mengurangkan beban-beban sedia ada. Cara ini bukan sahaja jauh lebih murah tetapi juga jauh lebih mudah untuk dilaksanakan. Walaubagaimanapun, pengurangan beban guru dengan cara ini memerlukan komitmen Kementerian untuk menilai kembali semua butiran tugas yang dirutinkan seperti pengisian pelbagai sistem atas talian dan lain-lain. Ini termasuklah keperluan menilai kembali beban-beban kerja tambahan yang diinovasikan oleh negeri-negeri tertentu yang tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang lain supaya semua guru di Malaysia berkongsi beban kerja yang relatif sama seterusnya fokus kepada tanggungjawab hakiki mereka iaitu berperanan sebagai pendidik generasi muda. Ini tidaklah bermaksud kita memusuhi sebarang inovasi pendidikan atau pengurusan. Namun, inovasi yang benar-benar diperlukan sewajarnya digunakan oleh semua guru di Malaysia dan bukannya hanya negeri tertentu sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif seperti bisikan psikologi “lebih baik berpindah ke negeri lain”.

MENGECILKAN BILANGAN PELAJAR SEKELAS

Pengurangan beban guru sebenarnya berkait rapat juga dengan bilangan pelajar sekelas. Namun, penyelesaian masalah ini dengan sendirinya memerlukan modal yang besar dan perancangan yang begitu teliti. Penyusunan semula sempadan persekolahan mungkin tidaklah begitu sukar untuk dilakukan. Namun, penambahan bilangan sekolah yang bersesuaian dengan peningkatan populasi setempat amat mempengaruhi bilangan pelajar sekelas. Komitmen Kementerian untuk menjayakan idea ini hanya boleh ditunjukkan dengan membina lebih banyak sekolah berbanding rancangan sedia ada oleh Kerajaan terdahulu.

 

PERUBAHAN TARIKH HARI GURU

Ini sekadar idea penyeri. Bukan perkara utama ketika ini. Namun sekiranya berkemungkinan, tarikh Hari Guru juga mungkin perlu diubah bagi memberi laluan kepada semua guru dan pelajar bersedia untuk peperiksaan pertengahan tahun dengan lebih baik.

 

KEPERLUAN MERUJUK DUA GOLONGAN

Inti utama kepada usaha memperbaharui sistem pendidikan kita memestikan Kementerian pimpinan YB untuk mendengar dengan ikhlas sebarang cadangan dan maklum balas dua pihak berikut secara berkala.

Pihak pertama yang dimaksudkan ialah para intelektual tempatan kita yang telah berpuluh tahun mengkaji hala tuju pendidikan kita. Sebagaimana Tun Mahathir berupaya mengumpulkan elders berwibawa untuk selesaikan masalah ekonomi, maka YB juga perlulah mengumpulan elders berwibawa untuk selesaikan masalah pendidikan. Tua tidak semestinya diukur pada usia semata-mata. Perkara yang lebih utama ialah kematangan akal mereka dalam memikirkan isu-isu pendidikan. Sebagaimana yang dikongsikan secara ringkas di sini, pembaharuan pendidikan bukan terbatas kepada cubaan menyelesaikan masalah pedagogi sahaja. Sekadar menyebutkan beberapa nama, mungkin elders seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Prof. Osman Bakar boleh dijadikan pakar rujukan.

Pihak kedua yang dimaksudkan tidak lain melainkan para guru sendiri. Secara umumnya, terdapat dua jenis guru di sekolah iaitu kumpulan pentadbir dan kumpulan guru akademik. Hanya pentadbir benar-benar memahami kesibukan dan kerumitan hidup pentadbir, sebagaimana hanya guru akademik sahaja yang benar-benar memahami kesibukan dan kerumitan hidup guru akademik. Cadangan dan maklum balas berterusan daripada mereka secara berkala pastinya akan memudahkan cita-cita YB untuk memperbaharui sistem pendidikan di Malaysia tercinta.

Semoga membantu YB.

KREDIT

Gambar: MH Online

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s