Eropah bukannya tidak pernah bergolak. Menurut Vijay Mehta (seorang aktivis keamanan), sejarah pernah mengenal Eropah sebagai benua terganas di dunia. Diringkaskan cerita, negara-negara Eropah akhirnya membatalkan niat masing-masing untuk berperang. Dalam bukunya berjudul “Peace Beyond Borders: How the EU brought peace to Europe and how exporting it would end conflicts around the world”, Vijay Mehta telah mengenalpasti 10 faktor keamanan yang telah dimanfaatkan oleh Kesatuan Eropah untuk mengamankan seterusnya memakmurkan benua berkenaan. Beliau juga percaya pengalaman di Eropah ini bersifat universal dan boleh diterapkan di belahan dunia yang lain.

#1 – DEMOKRASI DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Sesebuah negara yang ingin menganggotai Kesatuan Eropah dimestikan memilih kerajaan yang mendaulatkan undang-undang. Ini bermaksud para pemimpin tidak bertindak sewenang-wenangnya. Mereka malah boleh didakwa oleh para hakim yang bebas sekiranya terlibat dengan sebarang salah laku. Sebagai contoh, negara-negara seperti Sepanyol, Portugal dan Greek hanya diterima sebagai ahli setelah mereka mengganti pemerintahan diktator ketenteraan dengan undang-undang sivil yang diakui oleh Kesatuan Eropah (ketika itu dikenal sebagai Komuniti Ekonomi Eropah).

 

#2 – PERJANJIAN DAMAI EKONOMI (ECONOMIC TRUCE)

Mekanisme ‘pro-kemanan’ kedua ialah salah sebuah bentuk pelucutan senjata dengan cara menghalang penggunaan kawalan perdagangan sebagai sekatan ekonomi bagi mengurangkan jurang atau ketaksamaan ekonomi.

Penyertaan bebas semua badan dan agensi pula, bersatu untuk sebuah struktur persekutuan atau serantau bagi menentukan prinsip-prinsip untuk menghapus kesengsaraan wilayah-wilayah yang miskin di Eropah.

 

#3 – SEMPADAN TERBUKA DAN IKATAN MANUSIA

Pembukaan sempadan membolehkan Kesatuan Eropah mengaburkan garis pemisah di antara negara dan wilayah yang dipertikai. Langkah ini mengurangkan keperluan kerajaan menggunakan kaedah keselamatan yang terlalu ketat dalam memelihara integriti nasional.

Selain itu, pembukaan sempadan juga berperanan mengurangkan permohonan pemisahan dalam kalangan ahli. Pada masa yang sama, pergerakan bebas manusia dan barang dagangan turut menyulitkan mana-mana negara daripada didakwa mempunyai propaganda. Kesannya, hubungan manusia di antara negara-negara ini begitu erat sehingga peperangan tentunya merugikan kedua-dua belah pihak dan pastinya akan dirasai secara mendalam oleh warganegara masing-masing

 

#4 – KUASA LEMBUT (SOFT POWER) DAN NILAI BERSAMA

Nilai pujukan mesra dalam Kesatuan Eropah membina sikap saling percaya, dan memupuk identiti serupa. Walaupun Kesatuan Eropah tidak memiliki identiti nasional, tetapi mereka berkongsi identiti serantau yang begitu penting dalam mencapai ‘keamanan dengan persatuan’. Acara-acara sukan dan budaya seperti pertandingan menyanyi dan pertandingan golf  Ryder Cup menggalakkan warga Eropah untuk berfikir sebagai sebuah kumpulan dan bukannya sebagai puak-puak berbeza.

Selain itu, Kesatuan Eropah juga terus-menerus meredakan ketegangan dan menjana momentum ke arah keamanan hidup bersama menerusi kuasa lembut (soft power) dialog. Dengan cara ini, Kesatuan Eropah menyediakan asas tindakan bersama atau bersepadu dalam lapangan hak asasi manusia, keselamatan manusia, dan perkembangan manusia yang merupakan prasyarat mutlak untuk keamanan dan kebahagiaan dunia.

 

#5 – PERBINCANGAN KEKAL, DIALOG DAN DIPLOMASI

Nilai-nilai bersama diikat dengan kuasa lembut (soft power) yang membolehkan keamanan dibina dan dipertahankan di Eropah. Oleh sebab itulah, Kesatuan Eropah mementingkan usaha-usaha pencegahan masalah global dengan mencipta kerangka kerjasama untuk meredakan ketegangan dalam kalangan ahlinya. Ahli-ahlinya – yang sebelumnya terasing – dibantu untuk mengetahui kepentingan yang sebenarnya mereka kongsi bersama dengan pihak yang selama ini mereka anggap sebagai “musuh” atau “seteru”, sebagaimana kes di antara United Kingdom dan Ireland.

Bukan itu sahaja, penggubalan undang-undang (legislation) yang paling bertentangan – sekalipun melibatkan segala macam pertikaian – juga dibawa berbincang dalam suasana yang damai.

#6 – INSENTIF DAN SOKONGAN KEWANGAN

Wang yang diterima daripada negara-negara ahli oleh Kesatuan Eropah dimasukkan dalam skim-skim pembiayaan pembangunan untuk tujuan penyelesaian masalah-masalah sosial dan program-program penyelidikan dalam kalangan ahli.

Selain bukan sahaja tidak dilihat sebagai mencabar kesatuan ahli-ahlinya, perbelanjaan serantau Kesatuan Eropah ini  turut dilihat memperkukuh kesatuan mereka dengan menutup jurang perbezaan di antara wilayah yang kaya dengan wilayah yang miskin. Sebagai contoh, Kesatuan Eropah telah membelanjakan lebih daripada €30 bilion untuk pembangunan Itali Selatan yang jauh ketinggalan berbanding perindustrian Itali Utara.

Selain itu, usaha memastikan kesamaan serantau ini juga bertujuan menghalang gerakan politik yang ganas daripada mengeskploitasi masalah kemiskinan dan ketaksamaan serantau untuk mencapai matlamat mereka.

#7 – PEMBINAAN VETO DAN KONSENSUS

Semua dasar kerajaan yang mempengaruhi Kesatuan Eropah mestilah dipersetujui di peringkat Eropah. Keperluan konsensus atau kesepakatan – walaupun kadang-kadang mengecewakan – ini menghalang mana-mana ahli daripada memulakan pelanggaran politik dengan ahli-ahli yang lain.

Selain itu, langkah ini juga bertujuan menghalang pengumpulan (agglomeration) puak-puak atau pakatan-pakatan yang kuat dalam kesatuan sebagaimana pembentukan kesatuan serupa dalam Perang Dunia Pertama.

#8 – PENOLAKAN KEPADA CAMPUR TANGAN LUAR

Halangan asasi demokrasi ialah apabila pengaruh luar yang tidak diingini bekerja untuk menjayakan cita-cita jahat mereka. Bagi mengatasi masalah ini, Kesatuan Eropah berusaha memperbaharui cara undian mereka dengan memperkenal Qualified Majority Voting (QVM) untuk mencapai kesepakatan dalam sesebuah perkara. Kaedah ini dipercayai mampu menghalang sebarang kuasa luar daripada menubuh atau menaja kerajaan-kerajaan proksi dalam kalangan ahli.

Selain itu, kaedah ini juga bertujuan menghalang bukan sahaja pemerintahan para diktator boneka dan monarki, tetapi juga masalah rasuah dan kelegapan (opacity) yang membolehkan agensi perisikan asing membeli khidmat menteri-menteri dan jeneral-jeneral.

 

#9 – UNDANG-UNDANG, HAK ASASI MANUSIA DAN JAMAK BUDAYA

Segala perbezaan seharusnya dijadikan kekuatan dan bukan sebaliknya. Akta Hak Asasi Manusia Eropah dibentuk untuk menyukarkan semua kerajaan ahlinya daripada memberi layanan tidak adil kepada kumpulan minotiti etnik, agama dan serantau sehingga menyebabkan mereka memilih untuk mengganas. Dalam lain perkataan, tiada pemberontakan seharusnya berlaku sekiranya Eropah moden sungguh-sungguh komited mempertahankan kesucian hak-hak individu.

Keperluan toleransi turut disuburkan dalam kalangan ahlinya. Konsep ‘nilai bersama’ pula menggalakkan sekularisme, keamanan, kosmopolitanisme dan multilateralisme. Organisasi-organisasi multilateral bertindak sebagai pengantara atau orang tengah di antara setiap negara. Peranan organisasi-organisasi ini ialah menjamin kedaulatan undang-undang antarabangsa seterusnya memantapkan lagi rasa hormat dan kerjasama dalam kalangan mereka yang terdiri daripada masyarakat majmuk dengan penampilan fizikal, budaya dan sistem kepercayaan berbeza. Pada masa yang sama, matlamat mengalih kebencian, pemisahan dan konflik turut dicapai.

Ringkasnya, Kesatuan Eropah berminat untuk memperkaya pengalaman Eropah dengan berusaha menjayakan kewujudan bersama yang kreatif (creative coexistence).

#10 – SALING PERCAYA DAN KEWUJUDAN BERSAMA SECARA AMAN

Semua ‘mekanisme pro-keamanan’ terdahulu seterusnya membuahkan mekanisme kesepuluh yang semakin memperkukuh rasa saling percaya dalam kalangan ahli.

Daripada perspektif teleologi, evolusi negara-negara bangsa kepada kesatuan serantau memang tidak boleh dielakkan. Pelaksanaannya pula membawa keamanan kepada seluruh rantau berkenaan sebagaimana yang boleh dilihat daripada pengalaman Eropah.

Ringkasnya, semua 10 faktor ini telah menghalang konflik dalaman selama ini khususnya untuk separuh kedua abad ke-20 dengan meredakan ketegangan di Eropah Barat. Ini termasuklah pertikaian wilayah Gibraltar di antara Sepanyol dengan United Kingdom dan lain-lain.

 

 

PERSOALAN DAN HARAPAN

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelumnya, Vijay Mehta percaya pengalaman di Eropah ini bersifat universal dan boleh diterapkan di belahan dunia yang lain.

Persoalannya, bagaimanakah mekanisme-mekanisme ini boleh dimanfaatkan untuk menyuburkan keamanan dan kemakmuran bukan sahaja di ASEAN tetapi juga di wilayah-wilayah bergolak yang lain?

Yang pasti, kemerdekaan dan keamanan memestikan perjuangan dan pengorbanan berterusan.

 

Kemaskini: 9 Jun 2018

 

 

KREDIT

Rujukan: https://www.unitingforpeace.com/resources/speeches/2016/vijay_mehta_edinburgh_20_sept_2016.pdf

Baca lanjut tulisan Vijay Mehta ini untuk lebih memahami renungan beliau.

 

Gambar: Youtube/Uniting for Peace

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s