PERJUANGAN KELAS 

Perjuangan kelas sosial atau class struggles berlaku apabila satu kelas diperalat atau dizalimi oleh kelas yang lain. Menurut pemikiran Marxis, pertelingkahan ekonomi ini – bukan agama, ideologi atau budaya – mendasari semua peristiwa sejarah seperti Revolusi Industri dan lain-lain. Pertelingkahan ini sentiasa melibatkan dua pihak utama iaitu kaum Borjuis dan kaum Proletariat.

Revolusi berlaku apabila kaum Proletariat sedar mereka diperalat oleh kaum Borjuis. Komunis berniat memimpin revolusi ini bagi mengganti Kapitalisme yang dilihat sebagai tidak stabil. Bagi Komunis, reformasi atau perubahan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Hanya revolusi sahaja yang boleh menyingkirkan perbezaan kelas sosial.

SIAPAKAH KAUM BORJUIS?

Sebagai pengenalan awal, kaum Borjuis merujuk kepada para pemodal. Mereka biasanya merupakan majikan atau tuan kepada Kaum Proletariat. Mereka menguasai alat dan kaedah pengeluaran komoditi atau barang dagangan. Mereka juga dilihat sebagai penindas.

SIAPAKAH KAUM PROLETARIAT?

Kaum Proletariat pula merujuk kepada kaum buruh atau pekerja. Mereka tidak mempunyai modal. Sebab itulah mereka bekerja dengan Kaum Borjuis untuk menyara kehidupan. Mereka dilihat sebagai kaum yang ditindas oleh Kaum Borjuis.

 

SIAPAKAH KAUM BORJUIS MODEN?

Kaum Borjuis berkembang seiring dengan peningkatan permintaan dan perkembangan pasaran. Sudah tentu pengeluaran (manufacture) cara lama tidak memadai untuk memenuhi tuntutan perubahan ini. Ini menyebabkan pengeluaran cara lama diganti dengan revolusi stim dan mesin yang juga dikenali sebagai Perindustian Moden.

Perkembangan Perindustrian Moden ini membolehkan modal kaum Borjuis semakin bertambah dari masa ke masa. Boleh juga disimpulkan di sini bahawa kaum Borjuis moden sendiri merupakan hasil sejarah perkembangan revolusi cara pengeluaran dan pertukaran. Setiap perkembangan kaum Borjuis pula diawali dengan kemajuan politik yang menyokong mereka. Dalam lain perkataan, eksekutif sesebuah negara moden sebenarnya berkhidmat untuk kepentingan kaum Borjuis.

 

REVOLUSI KAUM BORJUIS

Kaum Borjuis telah mainkan peranan revolusi sepanjang sejarah. Mereka telah perkenalkan Perdagangan Bebas (Free Trade) – yang dibungkus dengan ilusi keagamaan dan politik – untuk tujuan eksploitasi.

Selain itu, mereka telah mengambil para doktor, peguam, pendeta, penyair dan saintis sebagai buruh upahan mereka.

Mereka juga telah membataskan hubungan kekeluargaan kepada hubungan kewangan semata-mata.

Perlu diketahui bahawa kaum Borjuis tidak boleh bertahan tanpa merevolusi alat pengeluaran dari masa ke masa. Revolusi ini sekaligus mengubah hubungan pengeluaran dan keseluruhan hubungan masyarakat pada masa yang sama.

Keperluan untuk berterusan mengembangkan pasaran produk-produk mereka pula mendorong kaum Borjuis untuk bersarang dan menetap di semua tempat. Eksploitasi mereka atas pasaran dunia memberi ciri kosmopolitanisme kepada pengeluaran dan penggunaan di semua negara. Ini memangkin industri yang sanggup bersusah payah mencari bahan mentah di kawasan-kawasan pedalaman dan juga industri yang bukan sahaja menghasilkan produk untuk kegunaan tempatan tetapi untuk seluruh dunia.

 

MISI PERADABAN KAUM BORJUIS

Kaum Borjuis memaksa negara-negara lain untuk bertamadun dengan mengamal cara pengeluaran mereka. Dalam lain perkataan, mereka memperbanyak bilangan kaum mereka di tempat lain. Kekayaan tidak diagih kepada semua dan hanya tertumpu kepada segelintir orang. Kuasa politik pula dipusatkan  dengan memperkenal undang-undang yang seragam. Sekiranya berterusan, keadaan ini akan melahirkan kebergantungan Timur kepada Barat.

 

SENJATA MAKAN TUAN

Peradaban cara Borjuis bermaksud terlalu banyak industri, pengeluaran dan perdagangan. Keadaan ini sebenarnya tidak menguntungkan dan semakin melemahkan mereka sekiranya berterusan. Untuk mengatasinya, mereka perlu terus merevolusi alat pengeluaran, menguasai pasaran baru dan memperkemas langkah eksploitasi mereka.

Namun, kegagalan mereka sudah tidak dapat dielakkan. Senjata yang dahulu pernah mereka guna untuk tundukkan feudalisme kini akan menundukkan mereka sendiri. Bukan itu sahaja, mereka juga telah mewujudkan golongan yang akan menggunakannya untuk menewaskan mereka iaitu para Proletariat. Tambah menarik apabila bilangan Proletariat bertambah seiring dengan penambahan modal mereka.

 

KAUM PROLETARIAT DIPERHAMBA OLEH KAUM BORJUIS DAN MESIN

Industri moden telah mengubah banyak perusahaan menjadi kilang-kilang besar sesuai dengan keinginan industri kapitalis. Para buruh di kilang-kilang ini pula boleh diibaratkan seperti para tentera yang menurut setiap perintah atasannya (Borjuis). Tidak berlebihan juga sekiranya mereka disifatkan sebagai hamba Borjuis dan sekaligus hamba mesin pada masa yang sama.

 

REVOLUSI KAUM PROLETARIAT

Kaum Proletariat sebenarnya dibentuk oleh banyak kelas. Ini termasuklah para pedagang kecil yang tidak beroperasi secara besar-besaran seperti Borjuis dan Industri Moden mereka.

Sebagaimana kaum Borjuis, kaum Proletariat juga berkembang dari masa ke masa. Perjuangan mereka dimulai oleh seorang buruh sebelum berkembang kepada sebuah kilang tempatan. Pada peringkat awal, matlamat mereka ialah menghapus alat pengeluaran yang mengambil alih peluang kerja mereka. Persatuan para Proletariat pada peringkat ini juga biasanya tidak kukuh kerana mereka juga cenderung untuk bersaing sesama sendiri. Sekalipun mereka nampak bersatu, kesatuan mereka pada peringkat ini sebenarnya dinaungi oleh kaum Borjuis. Dalam lain perkataan, kaum Proletariat belum melawan musuh sebenar mereka iaitu kaum Borjuis. Malah, mereka telah digunakan oleh kaum Borjuis untuk menyisihkan musuh-musuh Borjuis moden seperti saki-baki monarki mutlak, pemilik tanah, Borjuis bukan industri dan Borjuis kecil.

Perkembangan industri membolehkan kaum Proletariat untuk turut berkembang. Pada masa yang sama, persaingan dalam kalangan Borjuis dan pelbagai isu lain termasuklah krisis perdagangan dan gaji Proletariat yang naik turun mendorong mereka untuk membentuk Kesatuan Perdagangan (Trade Unions). Kemenangan sebenar Proletariat diraih apabila kesatuan pekerja mereka sentiasa berkembang.

 

KAUM PROLETARIAT PALING REVOLUSIONER

Menurut pemikiran Marxis, kaum Proletariat merupakan kelas yang paling revolusioner. Kelas-kelas yang lain menyusut dan akhirnya hilang ditelan industri moden.

Kelas menengah bawahan tidak revolusioner seperti Proletariat. Mereka melawan Borjuis untuk pertahankan kelangsungan mereka sendiri sebagai pecahan daripada kelas menengah. Oleh itu, mereka lebih sesuai disifatkan sebagai konservatif. Selain itu, mereka juga disifatkan sebagai reaksioner kerana sekadar berusaha mengembalikan cara lama mereka.

 

REVOLUSI KAUM PROLETARIAT

Misi para Proletariat ialah menghapus sebarang jaminan terdahulu untuk pemilikan harta peribadi.  Perjuangan mereka dimulakan di peringkat nasional terlebih dahulu. Ini bermaksud perang saudara di antara mereka dengan para Borjuis tempatan tidak dapat dielakkan.

 

RUJUKAN

The Communist Manifesto susunan Karl Marx dan Friedrich Engels terbitan Penguin Classics. Terjemahan oleh Samuel Moore. Lihat bab Borgeois and Proletarians.

Gambar: Wikimedia

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s