Terdapat banyak jenis orang ‘liberal’ yang wujud dalam kalangan kaum Muslimin semasa. Oleh itu, kefahaman yang luas diperlukan untuk memahami keragaman orang liberal yang ada di Malaysia.

 

TIPOLOGI #1

‘LIBERAL’ MENURUT ORANG AWAM

Orang awam biasanya menggunakan perkataan ini secara longgar untuk merujuk kepada sesiapa sahaja yang hidup bebas – tanpa mematuhi ketetapan agama sama ada yang berupa suruhan ataupun larangan – sedangkan orang berfalsafah liberal sendiri tidak semestinya bersifat buruk sedemikian.

 

TIPOLOGI #2

LIBERAL DALAM BERAGAMA

Secara umum, mereka yang liberal dalam beragama memahami dan mengamalkan agama dengan berani merungkai kaedah ulama berwibawa terdahulu. Sebagai contoh, sebahagian daripada mereka mungkin mengganti kaedah tafsir al-Quran dengan kaedah hermeneutika sedangkan sebahagian yang lain mungkin meragui keadilan para ulama lelaki dalam menilai sesuatu yang melibatkan perempuan.

 

TIPOLOGI 3

LIBERAL DALAM EKONOMI

Mereka yang liberal dalam ekonomi pula tidak semestinya liberal dalam beragama. Mereka yang liberal dalam ekonomi ini biasanya menyokong pasaran bebas. Bagi mereka, pasaran bebas merupakan cara yang paling alami dan manusiawi untuk berniaga. Ini termasuklah sikap mereka yang cenderung untuk hapuskan sebarang bentuk cukai. Malah cukai kadang-kadang dilihat sebagai pembantut daya saing dan inovasi sesebuah perniagaan kerana daya saing yang tinggi dan perkembangan inovasi yang agresif biasanya dipacu oleh persaingan di pasaran bebas. Oleh itu, amat tidak masuk akal sekiranya kita segera kelompokkan mereka yang sokong penghapusan cukai/duti import sebagai mereka yang liberal dalam beragama. Apatah lagi sekiranya mereka ini terbukti berakhlak mulia dan taat dalam beragama.

 

TIPOLOGI #4

LIBERAL DALAM POLITIK

 

Begitu juga dengan mereka yang liberal dalam politik. Mereka juga tidak semestinya liberal dalam beragama. Mereka, secara umumnya, menyokong beberapa gagasan seperti kebebasan manusia, kerajaan terbatas, tatanan atau keteraturan spontan dan kedaulatan undang-undang.

Kebanyakan daripada gagasan ini tidak semestinya menafikan agama. Walaubagaimanapun, gagasan mereka berkenaan kebebasan manusia tentu sekali mudah menimbulkan polemik dengan komuniti beragama – terutamanya apabila melibatkan desakan atau permintaan sebahagian kumpulan untuk keluar Islam (murtad) atau mempertahankan hak komuniti LGBT untuk mengungkapkan citarasa mereka secara terbuka.

 

HUJAH BERLAPIS #1
MENYOKONG KEBEBASAN TIDAK BERMAKSUD MENYOKONG KEMURTADAN DAN KESONGSANGAN SEKSUAL

Apabila diminta untuk berpendapat, sebahagian daripada orang liberal daripada kategori ini biasanya menjawab dengan mengutamakan gagasan-gagasan seperti hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Mereka melakukannya supaya dilihat konsisten dengan pendirian politik liberal mereka. Namun, jawapan-jawapan mereka sering disalahfahami sebagai “sokongan” kepada kemurtadan atau kesongsangan seksual sedangkan mereka sendiri tidak murtad atau terlibat dengan kesongsangan seksual LGBT. Tambah buruk apabila mereka sendiri tidak menjelaskan pendirian mereka secara menyeluruh.

 

AHLI POLITIK MUSLIM SEHARUSNYA TETAP PERLU BERI NASIHAT

Keadaan mungkin kurang merumitkan sekiranya mereka berterus terang dengan mengatakan bahawa mereka menyokong kebebasan semua warganegera – termasuklah komuniti LGBT – untuk bersuara. Ini termasuklah menidakkan cubaan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu di luar batasan undang-undang kepada mereka. Langkah ini dengan sendirinya menunjukkan komitmen mereka untuk memelihara kedaulatan undang-undang.

Namun sebagai ahli politik Muslim, mereka tetap perlu menasihatkan para pelaku LGBT untuk bertaubat sekalipun mereka tahu nasihat tersebut belum tentu mendorong para pelaku LGBT untuk bertaubat. Nasihat ini pula tentunya masih selari dengan prinsip liberal mereka kerana tidak melibatkan sebarang bentuk kecaman atau paksaan. Bukankah ini tentu sekali lebih baik berbanding sekadar menyatakan komitmen mereka untuk mempertahankan kebebasan bersuara pelaku LGBT tetapi mendiamkan suara hati mereka sendiri pada masa yang sama?

 

HUJAH BERLAPIS #2

LALUAN BERBEZA KE TEMPAT YANG SAMA

Begitu juga dengan masalah kemurtadan. Namun dalam masalah kemurtadan, sebahagian daripada mereka yang liberal dalam politik ini mendakwa bahawa mereka tidak semestinya berfikir dengan cara yang sepenuhnya sama dengan sebahagian pengikut liberal dalam beragama – sekalipun mereka pada zahirnya berkongsi kesimpulan yang sama. Sebab itulah mereka berani mendakwa, misalnya, mereka telah merujuk pandangan ulama terdahulu walaupun pandangan ulama berkenaan tidak mewakili pandangan jumhur.

Situasi menjadi lebih rumit di sini kerana para pengkritik mereka tentunya perlu lebih berhati-hati supaya tidak berlaku biadab terhadap ulama klasik yang dimaksudkan. Tambahan pula ulama berkenaan sendiri mungkin tiada kaitan langsung dengan agenda liberal.

 

HUJAH BERLAPIS #3

CIRI UNIVERSAL PERJUANGAN LIBERAL

Penghujahan lain mereka yang liberal dalam politik adalah seperti berikut. Perlu difahami, mereka meyakini bahawa amalan liberal mereka ini bersifat universal dan memberi kesan positif kepada kaum Muslimin bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia walaupun ada pihak yang akan terkorban dari masa ke masa dalam proses panjang berkenaan, sedangkan para pengkritik biasanya mengingatkan mereka untuk mengambilkira keadaan dan kebiasaan tempatan.

Bagi orang liberal, tindakan ini bukan sahaja membantutkan pencerahan masyarakat tempatan tetapi juga berkemungkinan membahayakan perkembangan kaum Muslimin terutamanya yang hidup di Barat. Dalam lain perkataan, setiap perjuangan tempatan diyakini memberi kesan atau mempengaruhi situasi global.

Para pengkritik mereka pula tidak merasa perlu berbuat demikian kerana mereka berpandangan kaum Muslimin di setiap negara perlu berjuang mengikut kelaziman di negara masing-masing. Dalam lain perkataan, Malaysia tidak perlu sepenuhnya mengikut pengalaman di tempat lain untuk menyelesaikan masalah sendiri.

 

HUJAH BERLAPIS #4

DASAR LIBERAL TIDAK HALANG DAKWAH ISLAM

Kaum Muslimin yang liberal dalam politik juga meyakini bahawa dasar liberal tidak akan menghalang perkembangan Islam. Namun, masyarakat Islam perlu lebih kreatif dan bersungguh-sungguh untuk berdakwah. Sebagaimana konsep pasaran bebas dalam perdagangan, konsep pasaran bebas juga diterapkan dalam keyakinan agama dan idea. Sebahagian daripada mereka biasanya mengajak khalayak untuk melihat perkembangan Islam di Barat bagi menyokong keyakinan ini. Sekiranya Islam masih boleh terus berkembang di negara-negara liberal yang majoritinya bukan Muslim, maka Islam sepatutnya tidak akan berhenti berkembang di negara yang majoritinya Muslim seperti Malaysia.

Selain itu, sebahagian daripada mereka juga berani untuk berhujah lebih jauh dengan mengatakan bahawa sekiranya dasar liberal diamalkan, banyak peristiwa-peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang boleh dielakkan. Ini termasuklah pemulauan Rasulullah, cubaan membunuh Rasulullah, penahanan ulama semata-mata kerana mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan sebagaimana pemenjaraan Imam Abu Hanifah oleh pemerintah beraliran Muktazilah, dan hukuman mati terhadap tokoh yang dianggap sesat – walaupun tidak dianggap sedemikian oleh sebahagian ulama berwibawa –  seperti al-Hallaj.

 

HUJAH BERLAPIS #5

KEBEBASAN BERSUARA LEBIH UTAMA DARIPADA PANDANGAN MAJORITI

Walaupun pilihan majoriti diutamakan dalam pilihan raya, pilihan majoriti tidak semestinya dimenangkan dalam semua perkara pada setiap masa. Sebab itulah kerajaan terbatas diperlukan untuk memelihara kebebasan bersuara. Menurut mereka, setiap suara minoriti perlu diberikan peluang – sekalipun dianggap sesat atau berbahaya oleh majoriti – kerana pandangan minoriti masih berpotensi menyelamatkan masyarakat pada masa hadapan. Perkembangan minoriti Muslim di luar negara sekali lagi boleh diangkat untuk membenarkan dakwaan mereka.

 

TIPOLOGI #5

LIBERAL DALAM BANYAK ATAU SEMUA PERKARA

Jenis orang liberal yang paling sukar difahami ialah mereka yang bersifat liberal dalam banyak atau semua perkara. Mengkritik mereka tidak seharusnya perlu dilakukan dengan mendiamkan semua jenis orang liberal.

KREDIT

Gambar: beritadaily.com

 

 

*Artikel ini merupakan lanjutan daripada artikel terdahulu berjudul Halangan Komunikasi Muslim Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s